Follow by Email

Selasa, 25 Mac 2014

Mencari Hikmah (MH370) Karya Hafiz Hamidun

Antara puisi terpanjang yang aku jumpa setelah kehilangan MH 370,.jadi aku ingin kongsi bersama,.dihrap pemiliknya tidak kisah andai dia terjumpa blog ini :D




Membawa nyawa, muatan yang sarat,
Terbang menuju destinasi tersurat,
Menembus awan amanah yang berat,
Namun hilang ke tempat yang tersirat.

Hilang dari radar;
Seluruh dunia tersedar;
Berita tersebar;
AllahuAkbar!

Spekulasi tak berhenti;
Apakah mereka telah mati?
Apakah Enjin yang terhenti?
Manusia tak sabar menanti.

Status Facebook jadi berat,
Doa, HashTag, Grafik jadi sarat,
Fitnah, caci juga berselirat,
Nafsu amarah menjadi karat.

Malaysia tidak sendiri,
Jiran tetangga bersimpati,
Malaysia harus berdiri,
Terus berdoa tak henti.

Dunia kini menumpukan perhatian,
Setiap perbuatan jadi pertimbangan,
Salah sedikit menjadi bualan,
Kelapa, bubu, mencuit keadaan.

Satu persatu tenaga dikerah,
Seluruh dunia kini menyerah,
Laut dan udara kini diredah,
Mengharap petunjuk terdedah.

Buntu.
Tidak tahu.
Sini situ.
Masih begitu.

Tok Menteri, Pak Pengerusi, Ketua Operasi,
Sidang media berhari-hari,
Wartawan dunia ada yang sangsi,
Malam ke siang; tugasan tak berhenti.

Sehari menjadi dua,
Seminggu menjadi dua,
Menteri, pegawai, duta,
Menjadi sasaran media.

Kuasa besar dunia bersuara,
Menawarkan jasa membantu kita,
Semangat setiakawan antarabangsa,
Tak membezakan agama, negara.

Petunjuk baru telah ditemui,
Apakah ini yang dicari,
Tumpuan beralih ke Lautan Hindi,
Garang arusnya tidak terperi.

Dunia terus mengirimkan doa,
Semoga harapan terus membara,
Ilmuan pakar begitu juga,
Memberi dengan sedaya upaya.

Satu hari di Twitter,
Aku terbaca update Prime Minister,
Bersedia juga para Newscaster,
Bak menerima gempa bumi 10 skala richter.

Tepat jam 10 malam,
Najib Razak memberi salam,
Takziah bertalu di malam kelam,
Memberi khabar yang suram.

Perjalanan MH370 disahkan,
Berakhir di sebuah lautan,
Teramat luas tanpa sempadan,
Lautan Hindi berakhir penerbangan.

Dunia masih menanti,
Sekeping besi pun belum ditemui,
Misteri kekal misteri,
Kotak Hitam itulah misi.

Mencari Hikmah
Dengan penuh tekad dan usaha
Mencari Hikmah
Dengan penuh sabar dan redha
Mencari Hikmah
Dengan penuh tawakal dan doa
Mencari Hikmah
Dengan penuh Iman dan Taqwa.

Hafiz Hamidun
Makkah Al-Mukarramah
Selasa 25 Mac 2014, 11.40pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.